Tuesday, September 4, 2007

Mengajak Wanita Mengenali Fitrahnya

Wanita lebih bernilai daripada sebutir permata. Kalaupun nak diibaratkan dengan sebutir permata bukanlah pada nilai harganya, namun pada cahayanya yang gemerlapan. Kerana harga adalah nilai kebendaan yang boleh ada pasang surutnya, sedang cahaya senantiasa tetap memancar serinya. Permata terhasil dari hebatnya proses kimia aturan Allah yang mengambil masa ribuan tahun jauh di dasar kerak bumi. Begitulah wanita Muslimah sejati menjadi serikandi menerusi indahnya seni didikan murni Al-Quraan, Hadith, Ibu bapa dan suasana yang terpelihara.

Wanita, seharusnya sedar bahawa mereka bukan barang dagangan nafsu dan pelaris produk. Wanita dilihat oleh ISLAM pada cahaya hati mereka yang menyinari alam didikan keluarga. Raut wajah mereka yang tenang, bercahaya hasil daripada ibadah menceritakan kemampuan mereka membesarkan anak supaya bertaqwa. Perasaan halus di jiwa mereka menghembuskan nafas iman untuk meluruskan akhlaq anak-anak Mukmin. Pada kecerdikan dan kecerdasan mereka, tersedia gedung ilmu membekalkan anak dengan bekalan suci perjalanan hidupnya.

Dengan itu Islam mewartakan wanita wajib dimuliakan sejajar dengan tugas mendidik yang hebat ini. Keluarga ialah perkara penting dalam masyarakat manusia. Dalam keluarga didikan adalah tujuan utama, dan didikan wanita yang bergelar ibulah yang memberi pengaruh terbesar. Seperti tersebut di dalam sepotong Hadith, 'Syurga dibawah tapak kaki ibu'. Hal ini menggambarkan betapa syurga seorang anak bergantung erat pada keteguhan deen si ibu, mulia nian.

Wanita wajib dipelihara daripada saat kelahirannya hingga saat kematiannya. Baginda Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang membenci wanita, maka ia bukan dari golonganku." Wanita wajib dipelihara ketulenan jiwa dan akal mereka agar sentiasa bersih dan boleh membersihkan akhlaq, akal dan sikap anak-anak. Dilarang berpelesaran seperti lelaki, sama ada atas nama kerjaya atau apa sekalipun. Ini kerana mereka ibarat permata, bakal rundung cahaya cerdik dan sucinya jika terkasar, tergeser, tercalar dan terdedah pada kancah kekotoran.

Dipertanggungjawabkan ke atas ibu bapa supaya tidak mendedahkan anak perempuan bergaul bebas dengan lelaki atau menghadiri acara yang menghilangkan malunya. Malu adalah warisan mulia wanita. Pergaulan bebas dan acara yang memansuhkan sifat malu menjatuhkan martabat wanita. Keperibadian wanita dibina dengan sembilan nafsu satu akal, oleh itu hanya sifat malu yang mencegahnya daripada gelora liar dan aib.

Perjuangan wanita sudah dijayakan oleh Rasulullah SAW 1500 tahun yang lampau. Sebelum itu keadaan masyarakat Jahiliyah meletakkan wanita semata-mata sebagai barangan seks dan dagangan. Amalan bersuami lebih dari satu sudah cukup menggambarkan betapa anak yang lahir tidak tahu asal keturuanannya. Islam berjaya memuliakan wanita dengan mengharamkan pembunuhan anak perempuan, perhambaan dan pelacuran. Islam telah menggantikannya dengan perintah wajib diberi wanita Ilmu dan nafkah, wajib disantuni dan disegerakan nikah jika ada lamaran yang memenuhi syarat adil, dan wajib dilindungi wanita janda dan anak yatim.

Dengan terlaksananya keadilan terhadap wanita yang diperjuangkan oleh SYARI'AT ALLAH, maka terhasillah para ilmuan wanita, ibu-ibu yang terpelajar, para hafizah yang menghayun buaian dan terbit jugalah anak-anak cendikiawan ulung dan para imam mujtahidin daripada institusi keluarga. Sedang saat itu, Barat masih dalam kemelut perhambaan, sistem fuedal, dan wanita ditindas terkebelakang selama beberapa abad.

Oleh itu, garis perjuangan wanita sudah tergaris di dalam Al-Quraan, iaitu perjuangan mendapat martabat TAQWA di sisi ALLAH SWT, memelihara kehormatan diri, menyusu dan mendidik anak agar terpelihara daripada azab api neraka, menutup tubuh agar dikenali sebagai orang mulia dan tidak mengumpat atau menjaga tepi kain orang. Perjuangan wanita sebagai sayap kanan suami mithali, dalam membantu menegakkan kebenaran ISLAM, sebagai penenang gundah dan letih suami ketika pulang dan sebagai penyampai ilmu sesama mereka.

Apakah tidak cukup pengiktirafan Al-Quran kepada wanita di dalam surah Al-Ahzab, 35 yang menyebut adalah sama ganjarannya antara wanita dan lelaki yang mukmin, bertaqwa bahkan beramal soleh di sisi ALLAH? Sama ganjaran biarpun berlainan jantina dan tugas. Subhanallah, rahmat dan kasih ALLAH meliputi segalanya! Sedang, perjuangan wanita Barat mengorbakan diri. Hal merebut persamaan hak, terlalu kabur kerana hingga kini mereka tidak juga terbela dari segi kehormatan. Cuma sekadar mendapat peluang berjawatan itu dan ini, berserta bebanan yang bertambah-tambah. Hal itu tidak lebih, sekadar perjuangan kebendaan.


Adaptasi dari Majalah Haluan, keluaran 2/2002