Thursday, January 31, 2008

Istimewa Untukmu, sayangku..


12 tahun yang lalu
Kami menunggu kelahiranmu
Saat tangismu kedengaran
Bahagia seakan menjelma di hati
Mak, ayah, abang bair, kak yam dan kak sna'
Semuanya gembira
Alhamdulillah
Muhammad Thalhah selamat lahir ke dunia

Adikku sayang, Thalhah…
Gelak tawamu
Tangis sayumu
Mainan lakonanmu
Menghiasi hari-hari hidupku
Alhamdulillah,
Syukur pada-Nya dikurniakan saudara seibu seayah sepertimu

Thalhah, adikku…
Kini, tanggal 12 Januari 2008
Genaplah 12 tahun umurmu
Umur tatkala Saidina Ali r.a. menggadai nyawa menggantikan tempat tidur Baginda
Umur tatkala Anas bin Malik menyerahkan diri sebagai pendamping Rasul-Nya
Umur tatkala Muaz dan Muawwiz mengangkat pedang
membunuh Abu Jahal, musuh Allah dan Rasul-Nya
Subhanallah,
Sungguh, itu bukti umurmu istimewa
Umur seorang anak lelaki yang masih muda
Namun mampu memiliki jiwa dewasa
Dewasa dengan Iman dan Cinta kepada-Nya

Adik yang disayangi, Thalhah
Dirimu selalu di dalam doa dan rindu
Semoga terus cemerlang dan gemilang
Seiring dan sejajar dengan yang dikehendaki ALLAH swt
Rabb dan Illahmu
Keimananmu
Peribadi dan Tingkah gayamu
Semoga kau akan terus menjadi harapan Islam
juga SAHAM akhirat yang Hebat
buat Ayah dan Bonda kita yang tercinta..

SELAMAT HARI LAHIR yang ke-12

Salam Sayang + rindu dari kakakmu…

12 Januari 2008
Asrama Pantaipuri IPBA, KL

Sunday, January 13, 2008

Sembang-sembang Tarbawi

Sembang-sembang Tarbawi

Husna: Eh, esok 1 Muharaam la. Tak sedar pula. Asyik dengar 1 January saja.

Huda: Aa, betul la. Maknanya, esok bermula tahun 1429 Hijrah. Ye tak?

Husna: Subhanallah, ya la. Cepat betul masa berlalu. Sedar tak sedar 1429 tahun sudah peristiwa Hijrah Rasul berlalu.

Huda: Erm.. Hijrah Rasul.. Peristiwa yang membawa makna dan kesan yang besar kepada Sejarah Islam. Husna… kelemahan saya ni.. LUPA. Kalau Husna tak keberatan, boleh Husna ulangkan sirah tersebut? Mudah-mudahan kita sama-sama dapat manfaatnya.

Husna: Subhanallah, Huda ni.. tentu saja saya akan kongsikan dengan Huda. Begini ringkasnya…

"Sebenarnya, peristiwa Hijrah bermula sejak awal tahun Dakwah Rasul lagi, apabila para sahabat mendapat izin baginda untuk berpindah ke Habsyah demi menyelamatkan iman dan aqidah mereka setelah mereka menerima tentangan hebat dari pihak Musyrikin Quraisy. Kemudian, setelah pemeteraian perjanjian Aqobah kedua, kaum muslimin diizinkan pula berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah, yang menjadi watan mereka yang baru. Manakala, peristiwa Hijrah Baginda Rasulullah sendiri berlaku apabila sampai perintah dari langit, dan setelah hampir selesai hijrah para sahabat, iaitu pada 622 M bersamaan tahun ke-14 kerasuluan baginda."

"Hijrah dalam Sejarah Islam menjadi peristiwa besar kerana, kaum Muslimin yang Beriman dengan Penuh Yakin, meninggalkan kampung halaman tercinta, demi menyelamatkan Iman dan Aqidah mereka. Mereka tidak membawa apa-apa melainkan Jiwa yang Suci dan Keyakinan yang utuh disamping sedikit bekalan sepanjang perjalanan. Mekah ke Madinah pada masa itu, bukan macam Kuala Lumpur ke Johor kita sekarang ini, Huda. Ada Highway.. Para sahabat, meredah padang pasir yang luas dan panas.. Bayangkanlah besarnya usaha mereka untuk menyelamatkan Iman mereka."

Huda: Subhanallah.. benar, tu Husna.. patutlah Allah berfirman dalam surah At-taubah, ayat 100, "dan orang-orang yang pertama (menerima Islam) di antara orang-orang Muhajir dan Ansar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung."

Husna: Alhamdulillah, tepat sekali ayat yang Huda petik itu...

Huda: Jika pengorbanan sebesar itu yang melayakkan mereka untuk beroleh syurga, bagaimana pula kita ya?

Husna: Semoga peristiwa Hijrah ini memberi kesan yang mendalam kepada Iman dan Ubudiyah kita juga..

Monday, January 7, 2008

Sama Sahaja di sisi-Nya


"Allah tak pandang rupa paras serta luaran kamu, tetapi Allah memandang apa yang ada di dalam hati kamu."

Secantik manapun seseorang hamba, seindah manapun pakaian yang disarungnya,
dia tetap sama dengan seorang fakir yang tak punya keindahan rupa atau pakaian di sisi-NYA.
Allah tak pandang luaran hamba-hamba, namun Allah sangat teliti apa yang ada di dalam hati mereka.

Antara keduanya,
Aqidah apa yang diimani?
Apakah ALLAH senantiasa di dalam Hati?
Kalam siapakah yang mereka pandang tinggi?
Apakah Al-Quran yang dipegang sampai mati?
Sunnah Siapakah yang mereka turuti?
Apakah Rasul Allah yang mereka teladani?
Hanya itulah yang membezakan antara keduanya di sisi Allah..

Kiranya si fakir yang tak berupa itu punya keimanan yang total, tanpa keraguan kepada-Nya
Menerima Allah sebagai satu-satunya Ilah dan Rabb dalam hidupnya
Kiranya si fakir menghidupkan Al-Quran di dalam jiwanya,
Meyakini setiap ayat dan kata di dalamnya
Kiranya si fakir hanya beramal menurut sunnah Rasul Allah, sabar dan yakin dengan setiap sabda baginda

Maka, si fakir itulah yang LAYAK dipandang tinggi oleh ALLAH swt
Maka, si fakir itulah yang LAYAK menerima anugerah syurga ALLAH swt
Kefakiran luarannya tak menggambarkan kefakiran dalamannya

Bagitu jugalah berlaku kepada si cantik lagi indah pakaianya
Kiranya hal yang sama ia imani dan turuti
Di tambah pula dengan tawaduk dan syukurnya
Maka, tentu saja Allah tak memandang rendah padanya..

Hidup ini sekadar ujian yang sementara
Untuk Allah lihat siapakah yang baik amalnya..

Si Cantik bergaya, atau si fakir miskin dirinya
Beza antara keduanya hanya Tingkatan TAQWA

Namun,
jika antara keduanya sama ENGKAR dan KUFUR terhadap ALLAH
Maka, tentu sajalah
ALLAH menghukum keduanya dengan AZAB yang sama KERAS dan SIKSAnya

Diskriminasi Allah bukan pada kaya atau miskin
Namun, pada IMAN dan KUFUR
Pada TAAT dan ENGKAR
Sungguh Sifat Allah, MAHA ADIL lagi MAHA TELITI terhadap hamba-hamba-Nya..


6 January 2008-01-06
Asrama Pantai puri IPBA

Sunday, January 6, 2008

Seruan Untuk Berfikir


Jendela 2007 telah selesai menutup tirainya, dan kini 2008 hadir memulakan eranya. Bagi jiwa-jiwa yang mati, beralih tahun tidak membawa sebarang erti. Sekadar nombor di atas catatan tarikh yang bertukar. Namun, bagi jiwa-jiwa yang hidup, jiwa-jiwa yang besar, tahun baru sering disusuli dengan 1000 harapan dan impian juga 1000 azam dan tekad untuk merealisasikannya. Ya, biarkan semalam dengan kelamnya, namun hari esok harusnya lebih cemerlang dari hari ini!

Lantas, sekadar berkongsi peringatan kendiri, sempena tahun baru ini, marilah kita bersama melatih diri kita untuk menggunakan aqal, ciptaan Tuhan untuk berfikir secara fitrah, tanpa kepentingan peribadi.
Mari kita latih minda ini agar
Usah sekadar melihat sesuatu tanpa memikirkan akan kepentingannya
Usah sekadar menerima sesuatu tanpa memikirkan kebenarannya.
Mari kita gerakkan minda ini untuk senantiasa mencari kebenaran.

Saudara budiman,
Dengan Aqal dan Minda yang berfungsi, ilmu yang suci akan hadir melemparkan cahayanya
Dengan Ilmu yang didalami dengan hati nurani, akan mengundang hidayah yang benar
Dengan Hidayah yang benar, diikuti pula dengan jiwa hamba,
akan melahirkan Personaliti yang terpimpin oleh Cahaya dari Langit.

Peribadi itu,
Biar Dunia hadir dengan segala macam CINTA dan GODAANnya
Ia tak mudah ditipu, diperdaya..
Juga tak mudah termakan oleh propaganda..
Yang Benar, jelas baginya
Yang Salah, terang bezanya

Maka, dengan itu, ia akan hidup di atas JALAN KEBENARAN.

Ayuh,
kuncinya,
Marilah kita MENGGUNAKAN AQAL untuk BERFIKIR secara FITRAH untuk mencari KEBENARAN, saudaraku!

6 January 2007
Asrama Pantaipuri, IPBA

Tuesday, January 1, 2008

Yang BARU


Tahun Baru
Azam Baru
Roh Baru
Jiwa Baru
Semangat Baru

GerakKerja Yang Baru ..!!

Ayuh, lengkap kan diri dengan 10 sifat individu Muslim Mukmin 'Amil..

Aqidah Yang Sejahtera
Ibadah Yang Sohih
Akhlaq Yang Mantap
Luas Pengetahuan
Sihat Tubuh Badan
Mampu Berdikari
Melawan Hawa NAFSU
Sangat Menjaga Masa
Teratur Urusannya
Bermanfaat kepada Orang Lain

Pra-Syarat menjadi Batu-Bata pembinaan kembali UMMAH yang telah RUNTUH..!!

Welcome 2008



WELCOME 2008

May the New Year begins with a Happy New Day.

TAKE CARE OF OUR IMAN
&
ALWAYS PUT OURSELVES OUT OF MA'SIYAH (EVIL)

ok?