Sembang-sembang Tarbawi
Husna: Eh, esok 1 Muharaam la. Tak sedar pula. Asyik dengar 1 January saja.
Huda: Aa, betul la. Maknanya, esok bermula tahun 1429 Hijrah. Ye tak?
Husna: Subhanallah, ya la. Cepat betul masa berlalu. Sedar tak sedar 1429 tahun sudah peristiwa Hijrah Rasul berlalu.
Huda: Erm.. Hijrah Rasul.. Peristiwa yang membawa makna dan kesan yang besar kepada Sejarah Islam. Husna… kelemahan saya ni.. LUPA. Kalau Husna tak keberatan, boleh Husna ulangkan sirah tersebut? Mudah-mudahan kita sama-sama dapat manfaatnya.
Husna: Subhanallah, Huda ni.. tentu saja saya akan kongsikan dengan Huda. Begini ringkasnya…
"Sebenarnya, peristiwa Hijrah bermula sejak awal tahun Dakwah Rasul lagi, apabila para sahabat mendapat izin baginda untuk berpindah ke Habsyah demi menyelamatkan iman dan aqidah mereka setelah mereka menerima tentangan hebat dari pihak Musyrikin Quraisy. Kemudian, setelah pemeteraian perjanjian Aqobah kedua, kaum muslimin diizinkan pula berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah, yang menjadi watan mereka yang baru. Manakala, peristiwa Hijrah Baginda Rasulullah sendiri berlaku apabila sampai perintah dari langit, dan setelah hampir selesai hijrah para sahabat, iaitu pada 622 M bersamaan tahun ke-14 kerasuluan baginda."
"Hijrah dalam Sejarah Islam menjadi peristiwa besar kerana, kaum Muslimin yang Beriman dengan Penuh Yakin, meninggalkan kampung halaman tercinta, demi menyelamatkan Iman dan Aqidah mereka. Mereka tidak membawa apa-apa melainkan Jiwa yang Suci dan Keyakinan yang utuh disamping sedikit bekalan sepanjang perjalanan. Mekah ke Madinah pada masa itu, bukan macam Kuala Lumpur ke Johor kita sekarang ini, Huda. Ada Highway.. Para sahabat, meredah padang pasir yang luas dan panas.. Bayangkanlah besarnya usaha mereka untuk menyelamatkan Iman mereka."
Huda: Subhanallah.. benar, tu Husna.. patutlah Allah berfirman dalam surah At-taubah, ayat 100, "dan orang-orang yang pertama (menerima Islam) di antara orang-orang Muhajir dan Ansar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung."
Husna: Alhamdulillah, tepat sekali ayat yang Huda petik itu...
Huda: Jika pengorbanan sebesar itu yang melayakkan mereka untuk beroleh syurga, bagaimana pula kita ya?
Husna: Semoga peristiwa Hijrah ini memberi kesan yang mendalam kepada Iman dan Ubudiyah kita juga..